PERAYAAN KAUM CINA DI MALAYSIA

Pagi tadi semasa mengemaskan gambar dalam folder saya ternampak gambar kuih bulan yang menyelerakan. Saya terus teringatkan fail kertaskerja Islamic Studies yang baru disiapkan. Ia bertemakan hubungan kaum antara etnik di Malaysia. Kami (satu kumpulan) bernasib baik kerana dapat tajuk perayaan kaum-kaum di Malaysia. Tajuk yang bagi saya akan menarik perhatian pelajar pada sesi pembentangan yang membosankan. Kami membahagikan tugasan dan saya mendapat perayaan kaum cina. Satu bonus!. Saya sangat meminati budaya kaum cina seperti minum teh, makan besar bersama keluarga dan tradisi kesihatan mereka. Dibawah ini saya “copy paste” dari kerja khusus saya. Agak panjang tapi saya yakin berbaloi untuk dibaca..

Masyarakat yang maju adalah masyarakat yang mampu berdaya saing. Di Negara Malaysia, perlembagaan telah menetapkan garis panduan yang menekankan hak-hak asasi setiap bangsa- bangsa Malaysia yang diakui sendiri serta dinilai positif oleh warga global. Masyarakat Cina di Malaysia menjalani kehidupan yang tenteram bersama kaum- kaum yang lain. Setiap perayaan yang disambut bangsa Cina juga diterima baik oleh segenap golongan masyarakat berbilang kaum sama ada Melayu, India, Singh dan lain-lain.

Sejarah kemasukan orang Cina ke Malaysia boleh dibahagikan kepada dua peringkat. Peringkat  pertama ialah kedatangan orang Cina ke Kepulauan Melayu pada abad ke-5 Masihi untuk tujuan perdagangan serta pendidikan (modul hubungan etnik) dan peringkat kedua kemasukan pada abad ke-19 dan 20 sebagai buruh lombong bijih timah sewaktu penjajahan British (the malaysian chinese). Meskipun mengharungan pelbagai revolusi dalam pembangunan Negara Malaysia, bangsa Cina masih mengekalkan adat-adat tradisional yang diwarisi dari negara asal.

Terdapat pelbagai adat dan budaya tradisional orang Cina yang masih diamalkan di negara kita. Antara adat dan budaya tradisional yang paling terkenal di Malaysia ialah adat perayaan. Bangsa Cina meraikan beberapa jenis perayaan dan setiap perayaan ini mempunyai sejarah serta nilai yang tersendiri. Perayaan tersebut antaranya termasuklah Tahun Baru Cina, Pesta Tanglung dan Perayaan Kuih Bulan.

Perayaan Tahun Baru Cina atau dalam sebutan bahasa cina ialah Gong Xi Fa Cai disambut meriah oleh segenap lapisan masyarakat berbangsa Cina di Malaysia. Tahun Baru Cina merupakan perayaan yang paling penting bagi orang Cina. Setiap tahun, kerajaan serta badan-badan bukan kerajaan bekerjasama dalam memeriahkan serta melancarkan sambutan yang diadakan di setiap negeri. Pada sambutan Tahun Baru Cina, masyarakat Cina akan merayakannya dengan pelbagai aturcara. Bagi ahli keluarga, sanak- saudara serta sahabat handai, mereka akan bertukar- tukar hadiah sesama mereka.(spectrum of chinese culture). Kebanyakkan daripada keluarga- keluarga Cina akan menjadikan makanan berunsur sayuran sebagai juadah pertama pada hari permulaan Tahun Baru Cina. Memakan juadah berasaskan daging dianggap mengambil nyawa hidupan lain dan bagi mereka ia dikira perlakuan yang tidak elok dilakukan pada awal tahun. (spectrum of chinese culture). Pada sambutan ini juga, hari pertama dikhususkan untuk mengunjungi keluarga dan sanak-saudara. Golongan muda berperanan dalam kunjung-mengunjung manakala golongan tua pula mereka bersedia menerima kunjungan dari ahli keluarga mereka.

Angpau ialah istilah yang digunapakai di Malaysia yang merujuk kepada sampul merah yang diisikan dengan sejumlah wang. Namun sebutan yang asalnya ialah Hong Bao. Angpao diberikan kepada generasi muda seperti kanak-kanak dan remaja. Orang yang telah berkahwin akan memberikannya kepada orang yang masih bujang dan angpau juga diberikan kepada seseorang yang masih tidak bekerja. Penggunaan angpao ini telah diimplikasikan dalam perayaan Hari Raya Aildilfitri menerusi penggunaan sampul dalam pemberian wang yang disebut “duit raya”. Sebelum penggunaan sampul duit, masyarakat melayu terdahulu menghulurkan wang secara terus.. Warna merah pada “hong bao” melambangkan tuah manakala jumlah wang yang terkandung dalamnya  selalunya bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang yang diberikan ketika majlis pengebumian (wikipedia).

Hari Tahun Baru Cina disambut selama 15 hari. Dalam jangkamasa ini, orang Cina akan melawat ahli keluarga mereka serta sahabat handai. Berdasarkan adat resam serta budaya orang Cina, pada hari ke-15 Tahun Baru Cina, iaitu pada Cap Goh Mei, pelbagai aktiviti sambutan yang menarik akan diadakan. Masyarakat Cina mempunyai budaya yang unik dalam menyambut perayaan Cap Goh Mei.

Cap Goh Mei, yang dikenali juga sebagai “Pesta Tanglung” merupakan malam pertama bulan purnama selepas Tahun Baru China. Pada malam tersebut, tanglung berwarna-warni akan dinyalakan bertujuan untuk memeriahkan lagi sambutan yang diadakan. Pada hari terakhir sambutan Cap Goh Mei, mereka akan “makan besar” bersama keluarga untuk sekali lagi. Kediaman mereka akan berhias indah dengan tanglung dan tanglung juga kadangkala dinyalakan. (spectrum of chinese culture) Adat tradisional warga Cina seperti membakar mercun ketika perayaan adalah mengikut kepercayaan mitos bertujuan menghalau makhluk jahat yang kejam dan dikatakan takut dengan bunyi bising yang dihasilkan. Namun, aktiviti membakar mercun adalah dilarang oleh kerajaan Malaysia.( Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991)

Perayaan Kuih Bulan, juga disebut sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 pada kalendar Cina iaitu sekitar penghujung bulan Ogos hingga akhir bulan September. Sejarah sambutan perayaan ini bermula sebagai menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajahan Mongol pada akhir pemerintahan Dinasti Yuan (wikipedia). Perayaan Kuih Bulan sering dikaitkan dengan Cap Goh Meh, namun kedua-dua perayaan ini adalah berbeza. Menurut mitos, Perayaan Kuih Bulan berkait dengan legenda-legenda bagi Chang E, iaitu mitos dewi bulan. Menurut “Li-Ji”, sebuah buku Cina kuno, ia menceritakan kisah di mana Maharaja Cina harus tawarkan pengorbanan untuk matahari pada musim bunga dan bulan pada musim luruh (wikipedia). Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, sambutan ini juga disambut bersama-sama dengan membeli kuih bulan yang mudah terdapat di pasaran. Masyarakat beragama Islam di negara ini juga berpeluang merasai sendiri kuih bulan ini kerana terdapat ramai pengeluaran tempatan yang memasarkan produk Kuih Bulan yang halal dan secara tidak langsung dapat menyelami budaya masyarakat Cina dan membentuk rasa keharmonian dalam kalangan kaum yang berbilang bangsa.

Dalam menzahirkan sebuah negara perpaduan, masyarakat Malaysia yang berbilang kaum secara terbuka menerima, mengkaji, malah bersama-sama merayakan sambutan sesebuah perayaan dengan cara yang tersendiri. Perayaan kaum Cina ini disambut oleh segenap lapisan masyarakat tanpa berbilang kaum dan penuh integrity. Walaupun berlainan agama namun rakyat Malaysia tetap hidup dalam keadaan yang harmoni berprinsipkan Rukun Negara yang luhur demi menyahut seruan “1 Malaysia” dari kerajaan.

Jeli Buah Naga

Inti kacang merah..Inti kacang hijau

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: